Saturday, September 1, 2018

Proud Dad Of An Aspie




Gambar di atas adalah gambar saya dan anak saya Luqmanul Hakim. Dan lebih mesra kami panggil dengan nama Luq sejak dari lahir lagi. Saya sebenarnya peminat tegar filem-filem Star Wars. Bagi mereka yang minat Star Wars pasti tahu watak utamanya Luke Skywalker. Antara sebab saya pilih nama Luq selain daripada sebab utamanya saya inginkan Luq jadi sepintar Luqmanul Hakim.

Ramai pasti tertanya apa bendanya "Aspie" sebagaimana di baju saya tu. Dan kenapa saya bangga jadi ayah pada seorang Aspie.

Aspie ni sebenarnya singkatan daripada Asperger. Sindrom Asperger adalah salah satu profil autisme yang merupakan ketidakupayaan perkembangan sepanjang hayat yang memberi kesan kepada cara hidup dan interaksi dengan individu lain. Semua individu autistik mungkin berkongsi beberapa kesukaran yang sama dan keadaan ini memberi kesan kepada mereka dalam pelbagai cara kehidupan.

Sindrom Asperger ini, bukanlah suatu penyakit. Namun individu yang mengalami sindrom ini melihat dan mendengar dunia sekelilingnya sedikit berbeza berbanding orang biasa. Sebahagian individu dengan sindrom Asperger mungkin turut menghadapi isu kesihatan mental dan sebagainya, bermakna golongan ini amat perlukan sokongan dari keluarga dan masyarakat.

Anak-anak sindrom Asperger ini tiada masalah pembelajaran seperti individu autistik lain tapi mungkin berdepan dengan kesukaran pembelajaran yang tertentu. Mereka kurang masalah dengan pertuturan tapi menghadapi masalah untuk fahami dan memproses bahasa. Namun dengan sokongan, bimbingan dan rawatan yang betul, mereka boleh menangani masalah ini dengan baik. Biasanya ibu bapa akan mula perasan simptom sindrom Asperger pada anak bila anak mula bersekolah dan berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

Anak dengan sindrom Asperger mungkin menunjukkan ciri berikut:

1. Menghadapi masalah untuk faham bahasa badan orang lain, sukar untuk mulakan atau teruskan sesuatu perbualan atau menunggu giliran bercakap.

2. Tidak suka mengubah rutin.

3. Kurang perasaan empati.

4. Sukar faham maksud sesuatu dengan nada percakapan seperti jenaka atau bersifat sarkastik.

5. Bercakap gaya formal. Mungkin lebih advance berbanding usianya.

6. Banyak bercakap jika berkenaan topik kegemarannya sahaja. Perbualan biasanya sehala. Apa yang difikir akan diluahkan melalui bercakap.

7. Mengelak eye contact atau merenung orang lain.

8. Mempunyai ekspresi muka atau postur yang lain daripada biasa.

9. Melakukan hanya satu atau beberapa perkara yang diminati sahaja, yang mana mereka berpengetahuan luas tentangnya. Kebanyakan anak-anak sindrom Asperger menunjukkan minat luar biasa terhadap sebahagian perkara atau aktiviti yang agak jarang dilakukan pada anak berusia kecil seperti mereka bentuk rumah, melukis sesuatu dengan sangat detail atau mengkaji tentang astronomi.

10. Kebanyakannya mungkin menunjukkan minat yang berbeza dalam topik tertentu seperti ular, nama-nama bintang atau dinasour.

11. Perkembangan motor yang lambat. Anak mungkin lambat belajar menggunakan sudu dan garfu, belajar naik basikal atau menangkap bola. Berkemungkinan juga mereka berjalan dengan cara yang sedikit kekok. Tulisan tangannya juga selalunya kurang kemas.

12. Mempunyai sensitiviti yang agak tinggi. Mudah terangsang dengan bunyi yang sangat kuat, cahaya yang terlalu terang atau rasa dan tekstur yang terlalu kuat.


Sewaktu bayi, Luq agak berbeza dengan bayi lain di mana Luq kurang menangis dan memang sangat senang untuk dijaga. Bila semakin membesar, Luq tiada masalah untuk makan apa sahaja makanan. Saya dan isteri tidak pernah menyangka yang sebenarnya Luq mempunyai sindrom Asperger ini walau pada hakikatnya, hampir semua ciri di atas ada pada Luq. Apatah lagi, sebenarnya kami tidak pernah benar benar mengambil tahu atau faham kewujudan sindrom ini. Biasalah, kita manusia hanya ambil tahu apa yang kena ke atas diri kita sahaja.

Apabila semakin Luq membesar, beliau mula menunjukkan ciri-ciri tertentu dan paling ketara ialah kesukaran Luq untuk berinteraksi secara sosial dengan rakan rakan sebaya. Kami sering menitiskan air mata apabila setiap kali menghantar Luq ke kem-kem sempena cuti sekolah, pasti mendapat panggilan daripada penganjur untuk mengambil Luq dan mereka mengembalikan yuran pada kami. Tidak ramai yang dapat menguruskan dan mengawal Luq. Keadaan fizikal Luq yang normal membuatkan masyarakat memandang Luq hanyalah mempunyai masalah “attitude”. Budak nakal, mak ayah tak reti ajar dan sebagainya di label kan pada Luq dan kami.

Akhirnya, atas maklumat daripada beberapa kawan, kami telah mendapatkan diagnosis pakar, dan terjawablah mengapa Luq adalah Luq. Saya tidak sedih mendengar diagnosis itu. Saya redha dengan ketentuan Allah. Malahan saya bersyukur kerana apabila masalah diketahui, maka jalan membantu Luq akan lebih senang.

Luq terpaksa menjalani “occupational therapy” dan juga berjumpa pakar psikologi secara berkala. Alhamdulillah, walau tidak pernah berharap, Luq berjaya mendapat 5A di dalam peperiksaan UPSR dan atas pilihan Luq sendiri, berjaya memasuki Sekolah Imtiaz Kuala Nerus.

Bermula satu era baru bagi Luq kerana pertama kalinya tinggal di hostel walaupun tidak lah jauh. Sebagai aspie bukan lah mudah. Kami sangat bernasib baik kerana pengetua dan guru guru di Imtiaz Kuala Nerus sangat memahami. Walaubagaimanapun, Luq tetap menghadapi masalah dengan beberapa rakan. Kerana itulah lumrah manusia di dunia ini. Mempermainkan kekurangan manusia lain. Adakalanya, Luq akan meminta kami ke sekolah hanya untuk Luq menangis meluahkan apa yang dirasainya. Jika ramai anak anak normal menghadapi masalah di asrama, Luq merasainya dua kali ganda atau lebih kerana masalah Asperger nya. Baru-baru ini, Luq telah di preskripsi oleh "psychiatrist" nya untuk mengambil pil anti depresi kerana bebanan yang dihadapinya. 

Perjalanan Luq masih jauh. Bukan mudah bagi Luq. Berat mata kami memandang, berat lagi bahu Luq memikul. Walau apa sekali pun, saya dan isteri tetap akan menyokong dan membimbing semampu kami agar Luq dapat berjaya seperti anak anak normal lain.

Luq mungkin pada pandangan ramai tidak sehebat rakan-rakannya. Tapi bagi yang memahami, Luq terpaksa berhempas pulas hanya untuk mengecapi sedikit daripada apa kita yang kita kecapi. Kerana itu, saya bangga mempunyai Luq sebagai anak. 

I am a proud Dad of an Aspie. 


2 comments:

  1. tersentuh dan dalam masa yang sama bangga dekat encik dan
    isteri. semoga dikurniakan syurga paling tinggi buat encik dan isteri kerana membesarkan anak istimewa sperti Luq dengan penuh ketabahan dan kasih sayang.

    ReplyDelete
  2. terima kasih. doakan luq agar dpt harungi hidup nya .

    ReplyDelete

yang tidak terluah

Tidak mengapa, jika kau rasa aku tidak mendengar, sedangkan diamku bukan tanda aku tidak peduli. Terlalu banyak yang ingin aku c...