Sunday, September 20, 2026

yang tidak terluah


Tidak mengapa,
jika kau rasa aku tidak mendengar,
sedangkan diamku
bukan tanda aku tidak peduli.

Terlalu banyak
yang ingin aku ceritakan,
namun setiap kali aku membuka bicara,
aku takut kata-kataku
akan berubah menjadi pertengkaran.

Jiwaku memberontak,
ingin menjerit tentang luka yang lama aku simpan,
ingin bercerita tentang lelah
yang tidak pernah sempat aku jelaskan.

Tetapi kepada siapa
aku harus letakkan segala rasa,
jika setiap keluhan dianggap serangan,
dan setiap kejujuran disambut kemarahan?

Lalu aku belajar diam.
Bukan kerana aku tiada kata,
tetapi kerana terlalu banyak kata
yang terpaksa aku telan sendiri.

Kau mungkin menyangka aku tidak mendengar,
sedangkan sebenarnya
aku hanya berharap sekali-sekala
ada ruang untuk aku didengar
tanpa perlu pertahankan diri,
tanpa perlu memilih setiap perkataan,
tanpa takut satu ayat kecil
akan menjadi ribut yang panjang.

Tidak mengapa
Teruslah menyangka aku tidak mendengar.
Cuma ketahuilah,
di sebalik diam yang kau lihat,
ada jiwa yang setiap hari
sedang belajar untuk tidak pecah.

AyohKu
21 September 2026

Thursday, June 25, 2026

Di Pinggir Hati Yang Sunyi

DI PINGGIR HATI YANG SUNYI

Apabila diri umpama kayu, 
Hidup bagai pelarian tanpa tuju, 
Dikikis waktu, ditinggalkan bisu, 
Ditelan sepi dalam bayang sayu.

Bayangan kenangan yang tak lagi bererti, 
Bila perlu, engkau dicari, dipuji, 
Bila tak perlu, engkau dikeji, dihindari.

Kehadiranmu bagai bayang dalam keluh kesah, 
Kasih yang dulunya hangat kini hambar, 
Cinta yang dulu teguh kini rapuh.

Di manakah letaknya harga diri, 
Jika hati hanya tahu melara, 
Apakah erti hidup ini,
Jika ditinggalkan tanpa suara?

Engkau umpama kayu, 
Kaku, sunyi, tak berdaya, 
Namun jangan biarkan hati layu, 
Kerana setiap luka ada ubatnya.

Biarlah diri dipinggirkan, 
Tetap berdiri dengan harapan, 
Kerana setiap awan yang kelabu, 
Ada mentari yang menunggu di hujung waktu.

AyohKu
25 Jun 2024

Tuesday, June 23, 2026

Broken

A man's heart breaks quietly.
Not when he is hungry, but when those he loves need something, and his hands return empty.

Yet the measure of a man is not what he owns, but how long he keeps standing, even when he has nothing left to give except himself.

Friday, June 19, 2026

maafkan aku


Aku tahu kau kata aku tak memahami.
Mungkin benar.
Aku tak pandai membaca bahasa mata, tak cekap menafsir diam, dan sering terlambat sedar bahawa hatimu sedang retak.

Aku ingat cinta itu adalah hadir setiap hari, membantu bila perlu, dan setia walau dunia bising.

Aku tak tahu rupanya cinta juga adalah memahami perkara yang tidak pernah diucapkan.

Maaf, bukan kerana aku tak mencuba.

Tetapi kerana aku dibesarkan dalam dunia yang bunyinya terlalu kuat, cahayanya terlalu terang, dan hatiku belajar untuk bertahan, bukan untuk diterjemahkan.

Aku sayang kau.

Cuma sayangku selalu datang dalam bahasa yang orang lain sukar fahami.

Dan mungkin,
kau bukan tak mencintai aku.
Aku bukan tak mencintai kau.
Kita cuma dua manusia,
yang bertemu,
namun tidak pernah benar-benar belajar bahasa hati masing-masing.

AyohKu 
19 Jun 2026

Monday, June 15, 2026

ku bendung agar tak pecah

Orang memuji langitku,
kerana dari jauh
ia kelihatan cerah.

Mereka tidak tahu,
ada musim yang tidak berbunyi,
ribut yang tidak merobohkan apa-apa
kecuali hati.

Aku belajar tersenyum
pada kata-kata yang tajam
yang tidak pernah diniatkan tajam,
dan memaafkan
luka yang tidak pernah disedari wujud.

Kadang-kadang aku iri
pada hujan.

Ia jatuh sepuasnya,
sedang aku
terpaksa menjadi bendungan
yang tidak boleh pecah.

Mereka berkata,
"Untunglah."

Aku hanya memandang senja.

Kerana ada warna-warna tertentu
yang cantik dari jauh,
tetapi perit
untuk dipeluk setiap hari.

AyohKu
15 Jun 2026


Sunday, January 5, 2025

Holy Water?

Sejak dari kecil, saya selalu dipesan oleh ramai orang supaya berhati-hati dengan mubaligh kristian, terutamanya berhati-hati dgn "holy water" yg mampu mengubah hati kita menjadi kelam dan lupakan Allah.

Sejak pertama kali mendengar pesanan ini, hati saya selalu terdetik mengapa Allah semudah itu mengubah hati muslim agar berpaling daripadaNya. Apakah tiada guna aqidah dan iman yang kuat jika terminum "holy water" ini?

Sudah tentu saya memang tiada jawapannya. Bahkan tiada sesiapa termasuk ustaz ustaz yang saya jumpa pada waktu itu mampu menjelaskan hal ini. Dan selama itu lah saya membesar dengan hati yang terbuku dan tidak berpuas hati. Apakah kristian itu lah agama yang benar kerana mampu mengubah hati mereka yang beriman pada Allah lari kepada bertuhankan Jesus Christ.

Kekuasaan Allah jua, akhirnya saya bertemu jawapan saya. Pada usia 18 tahun saya memulakan pengajian di. pusat matrikulasi UIA. Saya memang tak nafikan bahawa saya agak nakal. Kerana sebelum itu bersekolah di sekolah asrama semua lelaki, saya agak "terkejut" apabila di universiti penuh dengan gadis-gadis comel. Saya dan rakan rakan saya akhirnya rapat dengan sekumpulan pelajar perempuan di UIA juga. Kami tidaklah melampaui batas tetapi ada lah kadang-kadang berkumpulan keluar bersama sama. Salah seorang daripada pelajar perempuan yang rapat dengan kami adalah dari Sarawak dan beragama Kristian.

Untuk makluman semua, pada waktu itu, di UIA, ada juga secara sembunyi sembunyi pelajar pelajar kristian dan juga pelajar pelajar yg nampak muslim hanya di luar, tetapi sebenarnya mereka adalah "missionaries" yg cuba utk memesongkan pelajar pelajar islam di UIA.

Suatu hari, kami berkumpulan pergi ke sungai wang plaza. pada waktu zohor, jika tidak silap saya, kami pergi solat di surau di situ. Sewaktu sy selesai solat, saya keluar dan dapati rakan perempuan kami yg beragama kristian itu sedang duduk di suatu sudut di luar surau dan dikelilingi beberapa lelaki dan perempuan. Saya mendekati mereka dan mendapati di tangan pelajar tersebut ada sebotol kecil air jernih. Saya tak pasti puncanya tetapi rupanya pelajar tersebut sedang mencabar mereka yg di sekelilingnya untuk mencuba air tersebut. Menurutnya, air itu adalah "holy water".

Darah muda saya agak menggelegak dan tanpa berfikir panjang saya rasa terpanggil untuk membela Islam. Saya dengan pantas mengambil botol tersebut. saya baca bismillah dengan kuat dan saya declare dengan lantang di situ, bahawa saya akan minum air tersebut dan jika Allah adalah tuhan yg sebenarnya maka saya akan dilindungi. Dan jika saya akan gelap hati dan akan mula percaya pada Jesus Christ, maka itulah tuhan baru saya yang lebih hebat. Saya terus meneguk hingga habis sebotol air tersebut walau dihalang oleh mereka yg lain.

Allah Maha besar. Allah tiada duanya. Allah lah yg satu yang Esa. hati saya semakin cintakan Allah dan semakin yakin kepada Allah selepas saya meneguk air itu. kerana Allah pelihara saya. kerana saya yakin Allah tidak sekejam yang dikatakan org sanggup membiarkan seorang muslim terpesong hanya kerana air jampi kristian.

beberapa tahun yg lepas, saya mendapat message di FB dari pelajar perempuan tersebut. Saya agak terkejut kerana kami putus hubungan hampir 20 tahun. Message yg membuatkan saya menitiskan air mata. Pelajar tersebut memaklum kan pada saya bahawa beliau dalam proses memeluk agama islam dan hanya ingin memaklumkan pada saya. Kami tidak sempat bercerita panjang kerana beliau meninggal tidak lama selepas itu.

Maha suci Allah. cerita saya tidak seperti yang lain. Holy water tidak menggelapkan hati saya. Holy water menerangkan hati seorang kristian untuk mengenali Islam. 

Wallahuallam. sekadar perkongsian pengalaman saya utk semua.

KUJE

25 Julai 2019

Sunday, July 7, 2024

Jiwa Seorang Lelaki

Terdampar jiwa seorang lelaki, 
Air mata mengalir membawa duka, 
Cuba ditahan, namun berat terasa, 
Derita mendesak, akhirnya tumpah jua.

Tangisnya terpendam, lama tersembunyi, Dalam hati yang tegar, luka dirasai, 
Namun tiba masa, kepayahan meluahkan, Tegar melunak, air mata pun menitis.

Namun, ada saatnya, kemarahan membara, Hati yang tabah, akhirnya meletus juga, Hidup terlalu keras, mencabar ketabahan, Tak mampu lagi menahan, kemarahan pun meluap.

Seperti badai menggoncang malam, Amarah lelaki penuh makna terserlah, Dalam setiap letusan, cerita terungkap, Keperitan diri, terbuka pada dunia.

Biarkanlah ia marah, bukan tanda lemah, Dalam setiap letusan, kekuatan terpahat, Pertanda ketabahan, keberanian yang jujur, Menghapuskan duka, merekah jiwa yang terseksa.

Lelaki pun manusia, bermakna merasa, 
Air mata dan amarah, bukanlah kelemahan, Tetapi keberanian, menghadapi perjuangan, Menyuarakan hati, menggapai ketenangan.

AyohKu
8 Julai 2024

yang tidak terluah

Tidak mengapa, jika kau rasa aku tidak mendengar, sedangkan diamku bukan tanda aku tidak peduli. Terlalu banyak yang ingin aku c...