Saturday, September 2, 2017

Janganlah berputus asa

Salah satu kelemahan kita yang paling ketara ialah apabila kita kehilangan sesuatu. Kerana kebiasaan manusia daripada awalnya tidak mahu mengakui semuanya pinjaman Allah semata. Semuanya kereta aku, isteri aku, suami aku, anak aku, pangkat aku dan pelbagai lagi semuanya aku yang punya. Justeru itu kita amat terasa apabila kehilangan kerana kita tidak malu merasakan semuanya hak kita. Walhal cuma pinjaman semata. 


Tiada gunanya kita bersedih, menangis berterusan, apa lagi ada yang hingga memalingkan wajah dari rahmat dan kasih sayangNya. Kesalahan terbesar manusia ketika ditimpakan padanya kesempitan, kegagalan, kehilangan dan ujian lainnya, adalah berputus asa dari rahmat Allah, bahkan membenciNya, menjauh dari kasih sayangNya, berburuk sangka kepadaNya, dan kufur terhadapNya. 


Demi Allah, jangan sekali-kali engkau berputus asa, kerana orang yang putus asa telah kehilangan salah satu tiang utama dalam hidupnya.


Mengapa kita harus berputus asa, sedang di luar sana kita melihat seorang anak hidup sebatang kara, tetapi anak itu tetap menjalani kehidupannya yang penuh pancaroba.  Ada manusia yang tidak dianugerahi Allah tubuh yang sempurna, tidak mampu melihat, mendengar, berjalan dan bertutur, tetapi mereka mampu meneruskan hidup yang adakalanya lebih berjaya daripada hidup kita. 


Cukuplah meratap merintih. Syukurlah padaNya. Jangan riak dengan Allah. Apa yang Allah kurniakan, apa sahaja dugaan daripada Allah, terima lah dan redha lah. Itulah yang terbaik untuk kita. Apakah kita sudah cukup hebat hingga merasakan Allah salah mencaturkan hidup kita?


#GetUsedToDisappoinment

Friday, September 1, 2017

Buruk sangatkah Rohingya?

Niat untuk membantu mungkin ada banyak di minda kita, tetapi untuk melakukan adalah sesuatu yang tidak semudah difikirkan. Apabila membantu, perlu ikhlas kerana tidak semestinya orang yang dibantu akan berbuat baik pada kita. 

Allah tidak pernah mengatakan berbuat baiklah pada mereka yang akan berbuat baik pada anda. Allah tidak pernah mengatakan berbuat baiklah pada mereka yang pasti akan mengenang jasa anda. Allah memerintahkan kita untuk berbuat baik pada semua tidak mengira agama, bangsa dan perangai mereka. 

Ramai yang sedang marah berkenaan isu Rohingya. Cuma sedikit kelakar kerana ramai yang kecoh itu bukannya mereka yang selama ini banyak membantu pun. Kebanyakan mereka yang terdiri dari sukarelawan-sukarelawan dalam misi keamanan dan sebagainya tidak lah kecoh sangat. Kerana mereka ikhlas membantu atas dasar kemanusiaan. Pernahkan kita ke Rohingya dan lihat bagaimana mereka di sana? Tidakkah kita terfikir kesengsaraan mereka di sana yang membuatkan perilaku mereka seumpama tiada tamadun di Malaysia? Dan menambahkan lagi apabila mereka ini tidak punya paras rupa yang cantik. Cepat sungguh kita menghakimi bila rupa paras tidak cantik, berbau dan sebagainya. 

Memang perit hati apabila mereka yang dibantu seumpama tidak mengenang jasa. Tetapi ikhlas kan lah hati kita. Membantu kerana keredhaan Allah. Biarlah mereka tidak faham kita, tetapi kita fahami mereka. Bantu dan terus bantu saudara kita. Cuma mungkin boleh lah difikirkan satu mechanism agar tidak berlaku perkara yg tidak manis lagi. Membantu memang bukan senang. Pahala bukan seumpama memetik jari untuk mendapatkannya. Inilah kehidupan. Inilah jalan ke arah keredhaan Allah. Wallahualam. 

#GetUsedToDisappointment

Saturday, June 24, 2017

Selamat Hari Raya

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Hari Raya Aidilfitri. Hari gilang gemilang. Hari yang semuanya baru. Hari duit duit bertukar tangan kepada kanak-kanak yang mungkin pada mereka itu lah maksudnya Hari Raya. Hari segala macam juadah kita sediakan menandakan kemenangan sebulan berpuasa. 

Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Fitri itu adalah Fitrah. Hari  mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang suci dan murni. 

Dengan rahmat dan kasih sayang Tuhan, dikurniakanNya satu bulan dalam setahun iaitu bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang telah lemah dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula. 

Semoga kita semua akan kembali pada fitrah. Semoga fitrah yang telah tercemar berjaya kita sucikan sepanjang bulan Ramadhan. Agar kita mampu terus beribadah untuk sebelas bulan lagi menunggu Ramadhan yang akan datang. 

Selamat Hari Raya buat semua. Mohon maaf Zahir & Batin. 

Sunday, January 1, 2017

perkahwinan



Diam tak diam, tahun 2017 menjelma. maknanya perkahwinan aku dan isteri sudah menghampiri 20 tahun. Dan persoalan bahawa apa sebenarnya yg dikehendaki dalam sesuatu perkahwinan itu mula menjelma. Bagaimana cara nak pastikan perkahwinan itu berkekalan dan berbagai lagi. Aku mula berfikir. Pastinya yang aku tahu, selagi dikurniakan Allah nyawa kami, aku ingin berkekalan selamanya. ingin jadikan ikatan ini sebagai tangga-tangga ku ke syurga.


Dalam sesebuah perkahwinan, tolak ansur sangat penting. Ianya berkenaan mengetahui bahawa seseorang sentiasa ada di belakang untuk menyokong kita walau apa yang terjadi dan pada masa yang sama, kita juga akan sentiasa ada di belakang pasangan kita walau apa yang terjadi. Walau apa yang terjadi, buruk dan baik kita, pasangan kita tetap mencintai kita. Bergelak ketawa bersama, menangis bersama.

Kadang-kadang ada kalanya kita terfikir bagaimanakah keadaanya hidup tanpa pasangan kita. Dan setiap kali cuba memikirkan itu, kita tidak mampu dan pasti berakhir dengan air mata.

Perkahwinan ialah walau sebelum ini, sekarang dan selepas ini, kita tahu pasangan kita akan terus melakukan perkara yang kadang membuat kita geram, tapi kita tetap sabar dan mampu menelannya. Dan setiap kali tidak bersama pasangan kita, sentiasa di hati terasa tidak sabar untuk kembali ke pangkuan pasangan kita.

Ada kala kita bergaduh. Sebenarnya itu proses untuk kita belajar untuk memohon maaf, untuk lebih mendengar, untuk mencari penyelesaian yang lebih adil.

Perkahwinan itu adalah satu ujian, satu perjanjian, satu hubungan berlandaskan cinta di mana walau apa terjadi yang paling penting ialah kita terus mencuba sebaik mungkin untuk menjadi yang terbaik.

Untuk isteri ku :

Yang utamanya dalam perkahwinan ini, bagi ku, tiada yang boleh mencintai ku sebagaimana diri mu menyintaiku. Dan aku ingin mempercayai ungkapan ini selama-lamanya. Walau apa yang mendatang, ribut petir, susah dan senang, aku akan terasa bahagia selagi aku boleh mempercayai bahawa engkau sentiasa mencintai ku. mencintai kelebihan dan kekuranganku.

Dalam hidup, dalam mencari cinta, akan tiba satu ketika bila segala keindahan, segala "excitement" akan mula seakan pudar. Dan kebiasaannya kita akan mula melupakan cinta sejati, cinta sebenar, yang sebenarnya sentiasa berada di tengah-tengah kepudaran itu.

Cinta aku padamu ada di dalam setiap perkara yang ku lakukan. daripada yang besar hinggalah yang kecil. Percayalah, romantik, pemberian hadiah dan semua itu penting tapi lebih bersifat permukaan satu perhubungan sahaja. Di sebalik semua itulah sebenarnya berdirinya  tiang dan tunggak cinta sejati, cinta sebenar, cinta agung. Itulah perkahwinan kita.

Isteriku sayang, aku berjanji, dalam segala ketidaksempurnaan diriku ini, hanya engkau yang aku cintai dan semoga bersama kita mencuba sebaik mungkin mengharungi segala yang mendatang. Ku pasti tiada yang mampu menghancurkan mahligai kita selagi kita berpegang pada Allah dan terus mencuba yang terbaik. 











yang tidak terluah

Tidak mengapa, jika kau rasa aku tidak mendengar, sedangkan diamku bukan tanda aku tidak peduli. Terlalu banyak yang ingin aku c...