Tidak mengapa,
jika kau rasa aku tidak mendengar,
sedangkan diamku
bukan tanda aku tidak peduli.
Terlalu banyak
yang ingin aku ceritakan,
namun setiap kali aku membuka bicara,
aku takut kata-kataku
akan berubah menjadi pertengkaran.
Jiwaku memberontak,
ingin menjerit tentang luka yang lama aku simpan,
ingin bercerita tentang lelah
yang tidak pernah sempat aku jelaskan.
Tetapi kepada siapa
aku harus letakkan segala rasa,
jika setiap keluhan dianggap serangan,
dan setiap kejujuran disambut kemarahan?
Lalu aku belajar diam.
Bukan kerana aku tiada kata,
tetapi kerana terlalu banyak kata
yang terpaksa aku telan sendiri.
Kau mungkin menyangka aku tidak mendengar,
sedangkan sebenarnya
aku hanya berharap sekali-sekala
ada ruang untuk aku didengar
tanpa perlu pertahankan diri,
tanpa perlu memilih setiap perkataan,
tanpa takut satu ayat kecil
akan menjadi ribut yang panjang.
Tidak mengapa
Teruslah menyangka aku tidak mendengar.
Cuma ketahuilah,
di sebalik diam yang kau lihat,
ada jiwa yang setiap hari
sedang belajar untuk tidak pecah.
AyohKu
21 September 2026