Diam tak diam, tahun 2017 menjelma. maknanya perkahwinan aku dan isteri sudah menghampiri 20 tahun. Dan persoalan bahawa apa sebenarnya yg dikehendaki dalam sesuatu perkahwinan itu mula menjelma. Bagaimana cara nak pastikan perkahwinan itu berkekalan dan berbagai lagi. Aku mula berfikir. Pastinya yang aku tahu, selagi dikurniakan Allah nyawa kami, aku ingin berkekalan selamanya. ingin jadikan ikatan ini sebagai tangga-tangga ku ke syurga.
Dalam sesebuah perkahwinan, tolak ansur sangat penting. Ianya berkenaan mengetahui bahawa seseorang sentiasa ada di belakang untuk menyokong kita walau apa yang terjadi dan pada masa yang sama, kita juga akan sentiasa ada di belakang pasangan kita walau apa yang terjadi. Walau apa yang terjadi, buruk dan baik kita, pasangan kita tetap mencintai kita. Bergelak ketawa bersama, menangis bersama.
Kadang-kadang ada kalanya kita terfikir bagaimanakah keadaanya hidup tanpa pasangan kita. Dan setiap kali cuba memikirkan itu, kita tidak mampu dan pasti berakhir dengan air mata.
Perkahwinan ialah walau sebelum ini, sekarang dan selepas ini, kita tahu pasangan kita akan terus melakukan perkara yang kadang membuat kita geram, tapi kita tetap sabar dan mampu menelannya. Dan setiap kali tidak bersama pasangan kita, sentiasa di hati terasa tidak sabar untuk kembali ke pangkuan pasangan kita.
Ada kala kita bergaduh. Sebenarnya itu proses untuk kita belajar untuk memohon maaf, untuk lebih mendengar, untuk mencari penyelesaian yang lebih adil.
Perkahwinan itu adalah satu ujian, satu perjanjian, satu hubungan berlandaskan cinta di mana walau apa terjadi yang paling penting ialah kita terus mencuba sebaik mungkin untuk menjadi yang terbaik.
Untuk isteri ku :
Yang utamanya dalam perkahwinan ini, bagi ku, tiada yang boleh mencintai ku sebagaimana diri mu menyintaiku. Dan aku ingin mempercayai ungkapan ini selama-lamanya. Walau apa yang mendatang, ribut petir, susah dan senang, aku akan terasa bahagia selagi aku boleh mempercayai bahawa engkau sentiasa mencintai ku. mencintai kelebihan dan kekuranganku.
Dalam hidup, dalam mencari cinta, akan tiba satu ketika bila segala keindahan, segala "excitement" akan mula seakan pudar. Dan kebiasaannya kita akan mula melupakan cinta sejati, cinta sebenar, yang sebenarnya sentiasa berada di tengah-tengah kepudaran itu.
Cinta aku padamu ada di dalam setiap perkara yang ku lakukan. daripada yang besar hinggalah yang kecil. Percayalah, romantik, pemberian hadiah dan semua itu penting tapi lebih bersifat permukaan satu perhubungan sahaja. Di sebalik semua itulah sebenarnya berdirinya tiang dan tunggak cinta sejati, cinta sebenar, cinta agung. Itulah perkahwinan kita.
Isteriku sayang, aku berjanji, dalam segala ketidaksempurnaan diriku ini, hanya engkau yang aku cintai dan semoga bersama kita mencuba sebaik mungkin mengharungi segala yang mendatang. Ku pasti tiada yang mampu menghancurkan mahligai kita selagi kita berpegang pada Allah dan terus mencuba yang terbaik.

No comments:
Post a Comment